| ENG | BM |
LAPORAN JURUAUDIT BEBAS KEPADA AHLI THE ROYAL BANK OF SCOTLAND BERHAD (Diperbadankan di Malaysia)

Laporan Mengenai Penyata Kewangan

Kami telah mengaudit penyata kewangan The Royal Bank of Scotland Berhad, yang mengandungi penyata kedudukan kewangan pada 31 Disember 2010 bagi Kumpulan dan Bank, dan penyata pendapatan komprehensif, penyata perubahan dalam ekuiti dan penyata aliran tunai Kumpulan dan Bank bagi tahun berkenaan, dan ringkasan dasar perakaunan penting dan nota penerangan yang lain, seperti yang dibentangkan.


Tanggungjawab Pengarah Terhadap Penyata Kewangan

Para Pengarah Bank bertanggungjawab terhadap penyediaan penyata-penyata kewangan ini yang mengandungi gambaran yang benar dan saksama selaras dengan Akta Syarikat, 1965 dan Piawaian Laporan Kewangan di Malaysia sepertimana diubahsuai mengikut Garis Panduan Bank Negara Malaysia, dan untuk menyelenggarakan kawalan dalaman sekiranya para pengarah rasa perlu bagi membolehkan penyediaan penyata-penyata kewangan ini yang bebas daripada salahnyata material, sama ada berpunca daripada penyelewengan atau kesilapan.


Tanggungjawab Juruaudit

Tanggungjawab kami adalah untuk menyatakan pendapat ke atas penyata-penyata kewangan ini berdasarkan audit kami. Kami menjalankan audit selaras dengan piawaian pengauditan yang diluluskan di Malaysia. Piawaian ini menetapkan bahawa kami mematuhi ketetapan beretika serta merancang dan melaksanakan audit untuk mendapat kepastian munasabah sama ada penyata-penyata kewangan ini bebas daripada salahnyata material.

Audit melibatkan perlaksanaan tatacara untuk mendapatkan bukti audit mengenai amaun dan pembentangan di dalam penyata-penyata kewangan. Tatacara yang dipilih bergantung kepada pertimbangan kami, termasuk penaksiran risiko salahnyataan material penyata kewangan, sama ada berpunca daripada penyelewengan atau kesilapan. Dalam membuat penaksiran risiko, kami mengambil kira akan kawalan dalaman berkaitan dengan penyediaan dan pembentangan saksama oleh Bank akan penyata-penyata kewangan untuk merangka tatacara audit yang bersesuaian dalam keadaan tersebut, tetapi bukan untuk tujuan menyatakan pendapat tentang keberkesanan kawalan dalaman Bank. Audit juga merangkumi penilaian kesesuaian dasar perakaunan yang digunakan dan kemunasabahan anggaran perakaunan yang dibuat oleh para pengarah, serta menilai pembentangan penyata-penyata kewangan secara keseluruhan.

Kami percaya bahawa bukti audit yang telah kami perolehi adalah mencukupi dan bersesuaian untuk dijadikan asas bagi pendapat audit kami.


Pendapat

Pada pendapat kami, penyata-penyata kewangan telah disusun dengan betul selaras dengan Akta Syarikat, 1965 dan Piawaian Laporan Kewangan di Malaysia sepertimana mengikut Garis Panduan Bank Negara Malaysia untuk memberi gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan Kumpulan dan Bank pada 31 Disember 2011 dan gambaran prestasi kewangan dan aliran tunai bagi tahun berkenaan.


Laporan Mengenai Ketetapan Kawal Selia dan Perundangan Lain


Selaras dengan keperluan Akta Syarikat, 1965 di Malaysia, kami juga melaporkan bahawa:

(a) pada pendapat kami, perakaunan dan rekod-rekod lain dan pendaftar-pendaftar yang diperlukan oleh Akta untuk disimpan oleh Bank dan oleh syarikat-syarikat subsidiari, yang mana kami sebagai juruaudit, telah disimpan dengan baik selaras dengan peruntukan Akta;
   
(b) kami telah berpuas hati dengan penyata kewangan bagi syarikat-syarikat subsidiari yang telah disatukan dengan penyata kewangan Bank adalah seragam dan kandungannya sesuai dan sewajarnya untuk tujuan menyediakan penyata kewangan bagi Kumpulan, dan kami telah menerima maklumat dan penjelasan yang memuaskan seperti yang diperlukan oleh kami untuk memenuhi tujuan-tujuan tersebut; dan
   
(c) laporan juruaudit ke atas penyata kewangan bagi syarikat-syarikat subsidiari adalah tidak tertakluk kepada sebarang kelayakan dan tidak termasuk sebarang komen yang dibuat di bawah subseksyen (3), Seksyen 174, Akta.


Perkara-perkara Lain

Laporan ini dibuat semata-mata kepada ahli Bank, sebagai badan, menurut Seksyen 174, Akta Syarikat, 1965 di Malaysia dan bukan untuk mana-mana tujuan lain. Kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sesiapa saja berhubung dengan kandungan laporan ini.


Deloitte & Touche
Hew Kim Tiam












8hb Jun 2012